Sunday, January 10, 2010

Makna batin penyempurnaan solat


Makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, mengikut pandangan Imam Ghazali, terhimpun di dalam enam perkara, iaitu hudur al-qalb (kehadiran hati), tafahhum (usaha memahami bacaan dan perbuatan), ta'zim (mengagungkan) , haibah (takut yang timbul daripada perasaan hormat atau mengagungkan) , raja'(harap) , dan haya'(malu).
Hudur al-qalb
Yang dimaksud dengan hudur al-qalb ialah mengosongkan hati daripada selain yang kita sedang lakukan dan ucapkan, sehingga kita mengetahui apa yang kita lakukan dan apa yang kita ucapkan dan fikiran, kita tidak berkeliaran kepada selain keduanya. Selama fikiran kita berpaling daripada selain keduanya dan dalam hati kita tidak ada selain ingatan terhadap apa yang sedang kita hadapi dan tidak ada sebarang kelalaian terhadap setiap sesuatu, maka tercapailah dengannya kehadiran hati. Faktor utama bagi kehadiran hati adalah himmah, iaitu minat, keinginan atau perhatian, kerana hati seseorang akan menjadi perhatiannya. Jika seseorang berminat pada sesuatu atau mengingini sesuatu atau menaroh perhatian pada sesuatu, maka hatinya akan hadir padanya, sama ada ia kehendaki atau tidak, sebab hati dijadikan bertabiat demikian.
Apabila hati kita tidak hadir dalam solat, maka ia tidak menganggur, tetapi berkeliaran ke berbagai macam urusan dunia yang diminati atau menjadi perhatian utamanya. Maka tidak ada cara untuk menghadirkan hati kita kepada solat, melainkan dengan memalingkan minat dan perhatian kita kepada solat. Minat atau perhatian kita tidak akan terpaling kepada solat selama belum jelas bahawa tujuan yang dicari bergantung kepadanya. Yang demikian adalah keimanan dan kepercayaan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih berkekalan daripada dunia, dan bahawa solat merupakan sarana untuk mencapainya. Jika perkara ini didukung oleh hakikat pengetahuan tentang betapa tidak berharganya dunia dan betapa sedikit kepentingannya jika dibanding dengan akhirat, maka akan tercapailah daripada keseluruhannya kehadiran hati dalam solat.
Jika dengan sebab seperti ini, hati anda boleh hadir bila anda berada di hadapan orang besar atau raja yang tidak berkuasa menimpakan bahaya atau memberi manfaat kepada anda, dan tidak boleh hadir pada waktu anda bermunajat di hadapan Maha Diraja, Yang ditanganNya segala kerajaan, kekuasaan, manfaat dan bahaya, maka janganlah anda menyangka bahawa hal tersebut memiliki sebab lain selain daripada kelemahan iman.
Oleh sebab itu, berjuanglah anda untuk memperkuat keimanan anda yang lemah tersebut.
Tafahhum
Tafahhum atau memahami makna ucapan merupakan perkara di luar kehadiran hati. Boleh jadi hati hadir bersama lafaz yang diucapkan, tetapi tidak bersama makna lafaz tersebut. Kehadiran hati bersama pengertian tentang makna lafaz yang diucapkan inilah yang dimaksud dengan tafahhum.
Dalam kefahaman ini manusia berbeza-beza, kerana mereka tidak sama dalam memahami makna-makna yang terkandung di dalam Al-Qur'an dan berbagai tasbih. Bahkan kefahaman seseorang itu sendiri berbeza dari semasa ke semasa. Berapa banyak makna-makna yang halus yang difahami oleh seseorang yang sedang menunaikan solat, padahal sebelumnya tidak pernah terlintas di dalam hatinya. Melalui kefahaman terhadap makna-makna yang terkandung di dalam bacaan inilah solat mencegah orang-orang yang menunaikannya daripada segala perkara yang keji dan mungkar. Faktor penyebab timbulnya tafahhum, setelah kehadiran hati, ialah sentiasa berfikir dan mengarahkan fikiran ke arah usaha untuk mengetahui dan memahami makna. Usaha menimbulkan tafahhum ialah dengan menghadirkan hati beserta menghalakan pemikiran ke arah memahami makna lafaz yang dibaca dan usaha menolak berbagai lintasan fikiran yang liar.
Cara menolak lintasan fikiran yang menyibukkan ialah dengan memutuskan atau memotong berbagai perkara yang boleh menjadi bahan pemikiran, yakni menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang membuat fikiran tertarik kepadanya. Jika perkara-perkara yang menjadi bahan fikiran itu tidak dilenyapkan, maka fikiran tidak akan dapat dipalingkan daripadanya. Sesiapa yang mencintai sesuatu, maka ia pasti banyak mengingatinya, dan ingatan itu pula pasti akan melanda hatinya. Oleh sebab itu, maka kita melihat bahawa orang yang mencintai selain Allah, solatnya tidak akan terhidar daripada berbagai lintasan fikiran yang liar.
Ta'zim
Ta'zim juga merupakan perkara di luar kehadiran hati dan kefahaman, kerana seseorang mungkin mengatakan kepada hamba sahayanya perkataan-perkataan yang ia fahami maknanya dengan kehadiran hati, tetapi ia tidak mengagungkannya, ertinya tanpa ta'zim. Jadi ta'zim adalah tambahan ke atas keduanya. Ta'zim ini merupakan keadaan hati yang lahir daripada dua makrifat:
Pertama: Makrifat akan kemuliaan dan keagungan Allah, yang merupakan salah satu asas keimanan. Sesiapa yang tidak diyakini keagungannya, maka jiwa tidak mahu mengagungkannya.
Kedua: Makrifat akan kehinaan diri dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.
Daripada kedua makrifat tersebut lahirlah perasaan istikanah (yakni pasrah dan merendah diri), inkisar (lemah, tidak terdaya) dan khusyu' kepada Allah, yang diungkapkan dengan perkataan ta'zim. Selama kedua makrifat tersebut belum wujud, maka tidak akan timbul keadaan ta'zim dan khusyu'.
Seseorang yang merasakan kecukupan, tidak memerlukan pihak lain dan merasa aman atas dirinya mungkin mengetahui sifat-sifat keagungan pihak lain, tetapi pada dirinya tidak ada perasaan khusyu' dan ta'zim, kerana makrifatnya akan keagungan pihak lain tersebut tidak disertai oleh makrifat lain, iaitu makrifat kehinaan dirinya dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.
Haibah
Haibah adalah tambahan ke atas ta'zim, bahkan ia merupakan perasaan takut yang berpunca daripada ta'zim, kerana orang yang tidak takut tidak dapat dikatakan ha'ib. Perasaan takut kepada kala atau ular atau kejahatan seseorang atau yang seumpamanya daripada sebab-sebab yang hina tidak dinamakan haibah, kerana haibah adalah perasaan takut yang berpunca daripada sikap atau perasaan mengagungkan.
Haibah dan khawf adalah keadaan jiwa yang timbul daripada makrifat akan kekuasaan Allah, akan pengaruh dan berlakunya segala kehendaknya ke atas dirinya, dan pengetahuannya bahawa sekiranya Allah membinasakan seluruh manusia, yang dahulu maupun yang kemudian, maka yang demikian itu tidak akan mengurangi kerajaanNya sedikitpun juga. Yang demikian, di samping mengetahui akan segala yang berlaku ke atas para nabi dan para Wali, daripada berbagai musibah dan bermacam-macam ujian, meskipun Allah SWT Maha Kuasa untuk menolaknya. Berbeza dengan keadaan yang disaksikan daripada raja-raja dunia.
Kesimpulannya, semakin bertambah ilmunya tentang Allah, maka semakin bertambahlah rasa takut dan haibahnya kepadaNya.
Raja'
Raja' atau harap pula merupakan tambahan. Beberapa banyak orang yang mengagungkan seseorang raja yang ditakuti, kebaikannya. Seorang hamba adalah sudah selayaknya mengharapkan dengan solatnya ganjaran daripada Allah swt, sebagaimana ia takut bila mencuaikannya akan seksaanNya.
Faktor penyebab timbulnya raja' adalah makrifat akan kelembutan, kedermawanan, keluasan ni'mat, keindahan ciptaan, dan pengetahuan akan kebenaran segala janji Allah swt., khususnya janji Syurga bagi orang-orang yang menunaikan solat. Jika telah wujud keyakinan akan kebenaran janjiNya dan pengetahuan akan kelembutanNya, maka timbullah raja.
Haya'
Haya' merupakan tambahan bagi semua perkara di atas, kerana ia timbul daripada perasaan melakukan kecuaian dan perasaan berdosa. Mungkin sahaja pada seseorang terdapat kesemua yang lain, yakni ta'zim, haibah, raja dan lain-lainnya, tetapi tidak ada padanya haya', kerana tidak ada padanya perasaan melakukan sebarang kecuaian ataupun melakukan sebarang perbuatan dosa.
Maka perasaan haya' ini hanya akan muncul dengan adanya perasaan kekurangan, atau kecuaian dalam ibadat, dan mengetahui akan ketidak mampuan diri untuk mengagungkan Allah sepenuh hakNya. Dan perasaan tersebut menjadi lebih kuat lagi dengan mengetahui akan kecacatan diri, kekurangan ikhlasnya, keburukan batin dan kecenderungannya kepada memperoleh keuntungan yang segera dalam segala amal perbuatannya, di samping mengetahui akan besarnya konsekuensi yang dituntut kebesaran Allah, dan bahawa Dia Maha Mengetahui akan segala rahasia dan lintasan hati sehingga kepada yang sekecil-kecilnya. Semua pengetahuan ini jika telah diperoleh secara yakin, pasti akan menimbulkan suatu keadaan yang dinamakan haya'(malu).
Inilah sifat-sifat atau makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, dan faktor-faktor penyebabnya. Setiap perkara yang dituntut memperolehnya, maka caranya adalah dengan menghadirkan faktor penyebabnya. Dengan mengetahui faktor penyebabnya, maka kita akan mengetahui cara mewujudkannya. Penghubung kesemua sebab-sebab tersebut adalah keimanan dan keyakinan. Kekhusyu'an hati adalah mengikut kadar keyakinan, dalam erti semakin tinggi kadar keyakinan seseorang, maka semakin tinggi pula kadar kekhusyu'annya.
Dengan melihat kepada perbezaan makna-makna yang telah disebutkan di dalam hati, maka manusia terbahagi kepada orang yang lalai yang menyempurnakan solatnya tanpa kehadiran hatinya, walau sesaatpun; dan orang yang menyempurnakan solatnya dan hatinya tidak lalai walaupun sesaat, seluruh perhatiannya tertumpu pada solatnya, sehingga ia tidak menyedari apa yang berlaku di hadapannya, bahkan ada sekumpulan manusia yang wajah mereka menjadi pucat dan sendi-sendinya menggeletar.
Bahagian tiap orang daripada solatnya adalah mengikut kadar kekhusyu'an, pengagungan, perasaan takut dan lain-lainnya daripada makna-makna tersebut, kerana yang menjadi tempat perhatian Allah swt adalah hati, bukan gerakan anggota badan yang nampak. Pada hari kiamat nanti, tidak ada yang selamat melainkan orang yang datang menemui Allah swt dengan hati yang selamat.
Usaha Menghadirkan Hati Dalam Solat
Seorang mukmin, di samping beriman, ia juga tidak terlepas daripada keadaan mengagungkan Allah swt, takut, menaruh harapan, dan merasa malu kepadaNya atas kecuaian dan kekurangannya. Meskipun kekuatan keadaan tersebut bergantung kepada kadar kekuatan keyakinannya, tetapi terlepasnya dirinya daripada keadaan tersebut dalam solat tidak mempunyai sebab lain selain daripada berpencarnya fikiran, bercawangnya lintasan, ketidak hadiran hati pada munajat dan kelalaian daripada solat.
Tidak ada yang melalaikan seseorang daripada solat selain lintasan-lintasan yang mendatang yang menyibukkan atau mengganggunya. Tidak ada cara untuk menghadirkan hati melainkan dengan jalan menolak atau mengusir lintasan-lintasan tersebut. Sesuatu tidak dapat ditolak atau diusir melainkan dengan menolak atau mengusir sebab-sebabnya. Oleh sebab itu, hendaklah ia mengetahui sebab-sebabnya. Sebab datangnya lintasan-lintasan tersebut sama ada merupakan perkara yang datang dari luar, atau pun perkara yang datang dari dalam dirinya sendiri.
Yang datang dari luar, sama ada yang mengetuk telinga atau nampak bagi penglihatan, yang meragut perhatian, sehingga mengikutnya dan hanyut terbawa olehnya, kemudian fikirannya pun terseret kepada perkara-perkara lainnya secara berantai. Penglihatan menjadi sebab pemikiran, kemudian sebahagian daripada pemikiran-pemikiran tersebut menjadi sebab bagi sebahagian yang lainnya. Orang yang kuat niatnya dan tinggi minat atau perhatiannya, segala yang berlaku pada pancainderanya tidak akan membuatnya lalai. Tetapi orang yang lemah, fikirannya pasti akan berpencar kerananya.
Mengatasinya adalah dengan memutuskan atau menghalang sebab-sebab tersebut dengan memejamkan penglihatan, solat di tempat yang gelap, tidak membiarkan sesuatu yang boleh menyibukkan perasaannya berada di hadapannya, solat dekat dinding agar tidak luas jarak penglihatan, dan menghindari solat di tepi atau menghadap ke jalan, atau solat di tempat-tempat yang penuh dengan perhiasan, atau diatas permaidani yang berwarna-warni, apalagi yang dilukis dengan bermacam-macam lukisan.
Oleh kerana itulah, maka para ahli ibadat beribadat di dalam ruangan yang kecil atau sempit, supaya lebih dapat menumpukan perhatian. Orang-orang yang kuat daripada kalangan mereka meghadiri masjid-masjid dan menundukkan pandangan dan tidak melampaui pandangan mereka dari tempat sujud. Mereka berpendapat bahawa daripada kesempurnaan solat adalah bahawa kita tidak mengetahui siapa di sebelah kanan dan kiri kita. Ibnu Umar r.a. tidak membiarkan di tempat solatnya ada sebarang mushaf atau pedang melainkan beliau menyingkirkannya, dan tidak ada sebarang tulisan melainkan beliau menghapusnya.
Adapun sebab-sebab batin yang datang dari dalam diri kita sendiri, maka ia lebih susah mengatasinya. Sesungguhnya orang yang memiliki obsesi yang bercawang-cawang di lembah-lembah dunia, fikirannya tidak tertumpu pada satu aspek sahaja, tetapi sentiasa berkeliaran dari satu aspek ke aspek lain, sehingga menundukkan atau memejamkan pandangan tidak lagi berguna baginya. Apa yang telah bersemayam di dalam hati sebelumnya telah cukup menyibukkannya.
Cara mengatasinya adalah dengan menarik jiwa secara paksa untuk memahami apa yang dibaca di dalam solat dan menyibukkannya dengannya sehingga melupakan yang lainnya. Perkara lain yang boleh membantunya ialah mempersiapkan diri sebelum takbirat al-ihram dengan memperbaharui ingatan akan akhirat, kedudukan munajat dan pentingnya berdiri di hadapan Allah swt Yang Maha Melihat, di samping mengosongkan hatinya daripada perkara yang boleh menarik perhatiannya sebelum takbiraat al-ihram.
Rasulullah saw bersabda kepada Usman Bin Talhah:
Maksudnya: "Aku lupa mengatakan kepadamu supaya engkau menutup periuk yang ada di rumah. Sesungguhnya tidak semestinya di dalam rumah ada sesuatu yang boleh melalaikan manusia daripada solatnya".
Ini merupakan salah satu cara menenangkan fikiran. Apabila gelora fikirannya tidak dapat ditenangkan dengan cara ini, maka tidak ada yang dapat menyelamatkannya melainkan dengan menumpas atau mencabut materi penyakit dari akar umbinya, iaitu dengan melihat kepada perkara-perkara yang menghalang usaha menghadirkan hati. Tidak syak lagi bahawa yang demikian kembali kepada berbagai perkara yang diminati, yang telah menjadi perhatian utama bagi syahwatnya, maka ia menghukum jiwanya dengan melepaskan diri daripada syahwat-syahwat tersebut dan memutuskan berbagai ikatannya.
Setiap perkara yang melalaikan seseorang daripada solatnya membahayakan agamanya dan merupakan tentera Iblis, musuhnya; maka memegangnya lebih berbahaya daripada membuangnya. Oleh sebab itu, ia hanya dapat melepaskan dirinya daripadanya dengan membuangnya, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah r.a. bahawa beliau berkata:
"Nabi SAW mempunyai khamisah (pakaian daripada wool yang padanya terdapat lukisan), maka baginda memberikannya kepada Abu Jahmah dan mengambil sebagai gantinya anbijaniyahnya (pakaian daripada wool yang paling kasar dan paling rendah mutunya). Mereka berkata: Wahai Rasulullah, khamisah lebih baik daripada anbijaniyah.
Baginda saw bersabda: Aku melihat lukisannya dalam solat".
Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, tidak melalui Aisyah r.a.
Nasai dan Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau berkata:
"Bahawa Rasulullah saw mengambil sebentuk cincin dan memakainya. Kemudian baginda bersabda: Cincin ini, sejak hari ini, telah melalaikan aku daripada kamu, sekejap aku melihat kepadanya dan sekejap aku melihat kepadamu. Kemudian baginda membuangnya" .
Diriwayatkan bahawa baginda saw telah memerintah menggantikan tali terompahnya dengan yang baru. Kemudian baginda saw tergerak hatinya untuk melihatnya dalam solatnya, kerana barunya. Maka baginda pun memerintahkan supaya menggantikannya dengan tali yang lama kembali.
Diriwayatkan bahawa Abu Talhah menunaikan solat di dalam kebunnya, maka tiba-tiba beliau tertarik dengan seekor binatang yang terbang di atas pokok mencari jalan keluar. Beliau mengikutinya dengan pandangannya, kemudiannya beliau terlupa berapa rakaat beliau telah solat? Beliau pun menceritakan fitnah yang terjadi pada dirinya kepada Rasulullah saw, dan beliau berkata: "Kebun itu aku sedekahkan, aturlah mengikut kehendak tuan hamba".
Demikianlah mereka bertindak untuk memutuskan perkara yang menjadi bahan pemikiran, selain juga sebagai kesempurnaan solat. Itulah ubat yang mujarab bagi penyakit tersebut dan tidak ada ubat lainnya yang bermanfaat.
Adapun ubat penenang dan ajakan memahami zikir yang dibaca, maka ia hanya bermanfaat untuk mengatasi syahwat yang lemah dan keinginan atau minat yang tidak menyibukkan kecuali pinggiran hati. Adapun syahwat yang kuat yang bergelora, ubat penenang tidak berguna dan ia akan terus menariknya dan terus menarik anda, kemudian mengalahkan anda sehingga musnah seluruh solat anda dalam usaha tarik menarik. Walaupun demikian, anda tidak boleh meninggalkan mujahadah atau berhenti berusaha untuk mengembalikan hati kepada solat dan mengurangi sebab-sebab yang melalaikan.
Itulah ubat yang pahit, dan kerana pahitnya dianggap buruk oleh tabiat, sehingga penyakit yang ada menjadi kronik dan sukar disembuhkan.
Dipetik daripada buku Pejalanan Rabbani, Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat karangan Prof Madya Dr Musa bin Fathullah Harun

Khasiat Buah Pisang



Perhatian:


Jangan sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang.

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan:
Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mud dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS:
Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mud anda.

Anemia:
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi:
Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda:
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman:
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan:
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung:
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi:
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk:
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf:
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja:
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser:
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu:
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD):
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau:
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stres:
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok:
Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit:
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.
Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”

PS: Kesimpulannya, pisanglah adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. 
Menakjubkan!

Klinik 1Malaysia vs Perkhidmatan Kesihatan Di Zaman Khilafah



Klinik 1Malaysia Dapat Sokongan Pemimpin Masyarakat 

KUALA LUMPUR: Penubuhan klinik komuniti 1Malaysia pada umumnya mendapat reaksi positif daripada pemimpin masyarakat yang berpendapat ia akan dapat membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal melancarkan klinik komuniti 1Malaysia Kampung Kerinchi di sini esok serentak dengan 49 lagi klinik lain di seluruh negara seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2010 bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan awam.   Ketua pegawai eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata klinik 1Malaysia perlu disambut dengan baik oleh semua rakyat di negara ini.   Beliau berkata ia memberi kesan yang positif kepada mereka yang berpendapatan rendah dan miskin.  "Ia juga akan memberi infrastruktur yang diperlukan kepada mereka yang kurang upaya untuk menjalani rawatan yang sewajarnya di klinik yang berdekatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.  

Pengarah eksekutif pertubuhan amal, Yayasan Kebudayaan Xiao En, Prof Ong Seng Huat turut menyokong penubuhan klinik 1Malaysia yang sememangnya membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pemeriksaan awal.  "Klinik ini memang membawa kebajikan orang ramai terutamanya yang kurang mampu dan ia memang membantu mereka dapatkan rawatan secepatnya," kata beliau.   Katanya klinik 1Malaysia ini sejajar dengan slogan '1Malaysia' di mana ia dapat membantu rakyat berbilang kaum untuk menerima rawatan berbanding dengan klinikklinik swasta yang kadangkadang dilanggani oleh satu atau dua kaum sahaja.   Jelasnya, penubuhan klinik ini secara tidak langsung membantu golongan yang pencen dan tiada insuran kesihatan dan sekaligus meringankan beban mereka.   Turut meyokong ialah Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)Datuk Dr Chiam Heng Keng yang berkata klinik 1Malaysia akan memberi manfaat terutamanya golongan perpendapatan rendah.  

"Lebih baik kita ada klinik ini daripada tidak ada. Sekurangkurangnya mereka menyediakan sesuatu seperti perkhidmatan dan kemudahan kesihatan ini di kawasan bandar," kata beliau.   Mengenai klinik itu yang dikendalikan oleh seorang jururawat dan pembantu perubatan, katanya klinik ini akan mengendalikan kes kecil sahaja sementara kes kritikal yang memerlukan perhatian doktor, pesakit boleh segera ke klinik berhampiran.   Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata klinik 1Malaysia dibenarkan untuk memberi ubat bagi sakit ringan sahaja seperti demam, batuk atau pun luka ringan dan kes kronik akan dirujuk ke klinik yang lebih besar atau hospital. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pula melahirkan kebimbangan bahawa klinik 1Malaysia akan menjejaskan taraf perkhidmatan kesihatan di negara dan ia dilaporkan akan berdialog dengan kementerian berkenaan pada Jumaat ini. - BERNAMA

Sumber : mStar Online, 06/01/10


Klinik 1Malaysia vs Perkhidmatan Kesihatan Di Zaman Khilafah

Semuanya 1Malaysia. Kini dalil yang sama juga digunakan untuk mempropagandakan klinik 1Malaysia. Apakah hebatnyanya klinik tersebut?  Mampukah Klinik 1Malaysia itu dikendalikan jika ianya diurusi oleh hanya seorang jururawat dan pembantu perubatan? Bukankah ianya seperti melepaskan batuk di tangga? Persoalan cepumas juga akan timbul - siapa yang akan mengaut keuntungan dengan program ini? Kroni-kroni berkaitan? Mengapa perlu istilah 'klinik 1Malaysia' sedangkan apa yang lebih wajar adalah memperbaiki sistem kesihatan sedia ada? Jika realitinya inilah keadaan klinik 1Malaysia maka nampak gayanya sekali lagi rakyat terus digula-gulakan dengan sihir 1Malaysia.

Sekiranya kita menoleh sebentar kehebatan sistem Islam yang pernah diterapkan oleh umatnya disepanjang 1400 tahun lamanya maka di sana kita akan menemui kehebatan para khalifah saat itu mengurusi dan menyantuni keperluan rakyatnya dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyatnya. Apakah kita akan dapat merasa kembali perkhidmatan hospital yang efisien dan benar-benar percuma sebagaimana yang pernah dikecapi oleh umat Islam seperti di zaman Khilafah dulu? Dulu di era keemasan Islam [Khilafah] hospital berfungsi dan bertanggungjawab untuk merawat seluruh pesakit baik laki-laki maupun perempuan sampai benar-benar sembuh. Tidak hanya itu, seluruh kos rawatan pesakit tersebut ditanggung oleh Daulah Islam. Mereka yang dilayani secara istimewa dan percuma itu datangnya dari semua lapisan masyarakat - kaya, miskin, lelaki, perempuan, bekerja mahupun menggangur, warga negara ataupun bukan semuanya diperlakukan secara saksama dan adil. Tidak ada persyaratan tertentu dan pembayaran tertentu seperti hari ini di mana rakyat pada hari ini dipancing dengan polisi insuran kesihatan bagi mendapatkan perkhidmatan yang baik. Inilah kejam dan busuknya kehidupan di dalam sistem kehidupan Kapitalisme. Dalam erti kata lain,  dunia Kapitalisme adalah dunia yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman. Hari ini jika seseorang itu ingin sihat, maka galang gantinya adalah wang. Amat kejam dan dan hinanya mereka yang terus menjalankan sistem Kapitalisme ini.

Tercatat dalam kegemilangan Islam juga ialah idea mendirikan hospital sebagai tempat untuk merawat orang-orang yang sakit.  Ia mula diterapkan pada awal kekhalifahan Islam di mana hospital pertama didirikan di zaman Khalifah Al-Walid (705 M - 715 M) - seorang khalifah dari Bani Umayyah.

Untuk merawat para pesakit, khalifah menggaji tenaga perawat dan doktor. Diberitakan  juga bahawa Hospital Islam pertama yang sebenarnya dibangunkan pada zaman kekuasaan Khalifah Harun Al-Rasyid (786 M - 809 M). Setelah berdirinya Hospital Baghdad, maka selepas itu mulailah bermunculan hospital-hospital yang lainnya. Konsep pembangunan beberapa hospital di Baghdad itu merupakan idea dari Al-Razi, seorang doktor muslim yang terkemuka pada ketika itu. Jelas kepada kita bahawa jaminan kesihatan di zaman Khilafah itu jika ingin dibandingkan dengan zaman 1Malaysia saat ini adalah umpama langit dan bumi.  Khilafahlah penyelesaian yang hakiki bukan hanya untuk masalah kesihatan malah untuk semua masalah manusia - bukannya gula-gula 1Malaysia -(sumber HTM)

Muslim perlu waspada campuran plasma darah dalam makanan


Muslim perlu waspada campuran plasma darah dalam makanan

Oleh Jami'ah Shukri


KAJIAN Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ke atas 12 sampel isi daging ikan (surimi) digunakan dalam bebola ikan yang diambil daripada beberapa pasar raya di sekitar Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan didapati mengandungi bahan tidak halal dalam produk berkenaan.

Kajian awal yang dilakukan itu mendapati bebola ikan berkenaan mengandungi plasma darah haiwan yang dicampurkan di dalam ramuan bebola ikan bagi menambahkan kualiti bebola ikan, selain mencantikkan produk itu supaya nampak lebih kenyal dan gebu.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Usim, Prof Dr Salmah Yusof, ketika mendedahkan hasil kajian itu menyatakan plasma darah kaya dengan protein yang boleh membantu memberi ciri-ciri yang lebih baik serta kualiti kepada sesuatu produk makanan seperti kekenyalan, mudah dihiris dan berwarna putih.

Lazimnya, beliau berkata, semua bahan itu boleh diperoleh daripada plasma darah ternakan seperti ayam, lembu dan babi. Katanya, penggunaan plasma darah ternyata tidak dibenarkan di dalam Islam kerana ia adalah haram.

“Kajian yang dilakukan bulan lalu, mendapati bebola ikan itu positif daripada bahan tidak halal iaitu mengandungi plasma darah haiwan. Kita juga akan melakukan kajian secara menyeluruh sedikit masa lagi bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenainya.

“Kita menggunakan `teknik enzime linked immuno sorbent assay` (Elisa), iaitu teknik yang lebih cepat dari segi dapatan kajian dan lebih menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui pada seminar Minggu Pelancongan Islam dan Halal Antarabangsa, baru-baru ini.

Surimi dijadikan bahan kandungan asas bagi produk seperti sosej, bebola ikan, udang, ketam, mee, isi ketam tiruan produk makanan lain.

Justeru, tidak mustahil, hasil kajian menunjukkan untuk meningkatkan dan mengekalkan kestabilan kualiti surimi, protein plasma darah haiwan dicampur ke dalam surimi. Plasma adalah bahagian cecair yang tidak berwarna sebahagian daripada darah. Secara sederhana, ia diasingkan daripada darah melalui kaedah pengemparan. Selepas diasingkan, plasma ini dikeringkan dengan alat pengering sembur sehingga berbentuk serbuk.

Salmah berkata, ketika ini, pihaknya belum melaporkan hasil kajian berkenaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengenai produk itu daripada pasar raya di Putrajaya dan Nilai berkenaan didapati tidak halal atas alasan tertentu.

Bagaimanapun, bagi memenuhi tanggungjawab sebagai umat Islam, beliau melalui pembentangan kertas kerja atau ceramah yang dihadiri akan menyebarkan maklumat mengenai isu halal haram ke atas produk makanan.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya dan maklumat dan pengetahuan, seseorang boleh tahu dan mencurigai sesuatu makanan atau minuman yang dibeli itu halal atau sebaliknya.

Sebagai contoh, bentuk fizikal bebola ikan yang dilihat cantik, sempurna dan berkualiti pembuatannya seperti kenyal lazimnya mengandungi plasma darah haiwan.

“Oleh itu, orang ramai seharusnya prihatin apabila ingin membeli produk berasaskan produk isi daging seperti bebola ikan, ketam atau sosej kerana ia mungkin mengandungi bahan yang tidak halal. Kita perlu ada sifat ingin tahu dan sensitif mengenai perkara ini supaya tidak termakan bahan halal.

“Malah, dalam hadis riwayat At-Tabarani juga menjelaskan setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak baginya,” katanya.

Salmah berkata, keraguan terhadap penggunaan plasma darah haiwan dalam makanan juga sudah banyak disebarkan di dalam jurnal oleh pakar saintis yang sering memberi penekanan mengenai kewujudan plasma darah haiwan ke dalam beberapa produk makanan.

Beliau menegaskan, tidak mustahil bahan sama digunakan dalam produk berkaitan di negara ini.

Justeru, Usim juga akan memperluaskan kajian ke atas produk berasaskan sosej, tahun depan.

Mengulas lanjut, Salmah berkata, kerjasama menyeluruh membabitkan pelbagai pihak bermula dari peringkat industri, pakar, pengkaji dan Jakim serta agensi berkaitan perlu dipergiatkan bagi menangani kesedaran mengenai isu halal termasuk produk makanan, kosmetik, minuman dan farmaseutikal.

Sumber : 
BHarianOnLine 2009/12/28 

Hukum Memberi Salam dan Menjawab Salam Orang Bukan Islam

Oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri 013 3621236

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:
لا تبدأوا اليهود ولا النصارى بالسلام فإذا لقيتم أحدهم في طريق فاضطروه إلى أضيقه

Maksudnya: “Janganlah kamu mulakan orang-orang Yahudi dan juga orang Nasrani dengan salam. Justeru itu, sekiranya kamu menemui seseorang mereka di jalan tolaklah mereka ke jalan yang paling sempit.

Ulama berbeza pendapat dalam menyelusuri fiqh (kefahaman) hadis ini. Kebanyakan mereka memutuskan bahawa haram memulakan ucapan salam kepada mereka. Sebahagian pula berkata ianya tidak haram tetapi makruh.

Seorang fuqaha iaitu Abu Sa`ad berpendapat, sekiranya seorang muslim ingin memberi ucapan hormat kepada bukan Islam dia boleh melakukannya dengan lafaz yang lain daripada lafaz salam. Contohnya dengan menyebut: (هداك الله ) maksudnya moga Allah memberi hidayah kepada kamu atau (أنعم الله صباحك) maksudnya moga Allah memberi anugerah di waktu pagimu ini. Imam Nawawi menyetujui pendapat ini tetapi dengan tambahan: sekiranya ianya diperlu. Antara contoh ucapannya bagi Imam Nawawi ialah ucapan selamat pagi, pagi yang bahagia, pagi yang baik, moga Allah kurniakan kamu dengan kebahagian di waktu pagi, atau nikmat di waktu pagi dan seumpamanya. Sekiranya tidak perlu maka pilihannya ialah jangan mengucapkan apa-apa. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Pandangan ini bagi saya sesuai diamalkan oleh umat Islam di Malaysia pada hari ini. Mereka boleh menyatakan selamat pagi kepada bukan Islam tanda penghormatan, atau berdoa moga Allah bagi hidayah atau seumpamanya. Ucapan-ucapan ini boleh mendekatkan mereka dengan bukan Islam sebagai satu pendekatan dakwah.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah saw bersabda:
إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا وعليكم

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”.

Imam Bukhari pula meriwayatkan daripada Ibn `Umar –radiyallahu `anhuma- katanya; Rasulullah saw bersabda:
إذا سلم عليكم اليهود فإنما يقول أحدهم السام عليك فقل وعليك

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh Yahudi, mereka hanya menyatakan Assaamu `alaikum (mampuslah kamu), maka jawablah: wa `alaik (dan ke atas kamu juga).

Daripada kedua-dua hadis diatas para fuqaha mengambil hukum apabila seorang muslim diberi salam oleh bukan Islam, jawapan yang diberi ialah wa `alaik atau wa `alaikum (dan ke atas kamu juga).

Imam Mawardi menghikayatkan satu wajah di kalangan ashab Syafie iaitu harus memulakan salam kepada bukan Islam dengan menyebut Assalamu `Alaik sahaja bukannya Assalamu `Alaikum. Begitu juga boleh menjawab salam mereka dengan Wa `Alaikum Salam, tapi tidak menyebut warahmatullah. Imam Nawawi menegaskan bahawa kedua-dua pendapat ini adalah janggal dan ditolak. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Kesimpulan perbahasan di atas ialah ucapan salam adalah ucapan khusus untuk umat islam. Justeru, untuk bukan Islam tidak perlu digunakan lafaz salam tetapi boleh digunakan lafaz-lafaz penghormatan yang lain.

Saturday, January 9, 2010

Web site palsu (FAKE) - Maybank and Hong Leong


Please note it is not easy to tell the difference between FAKE and genuine website if you do not pay close attention. 
The only difference is to refer to the 
address bar.
 


Teman sekelian tentu telah notice akan pelbagai makluman dari Bank Negara Malaysia dan PDRM berkaitan dgn online bank transactions aktiviti yg dilakukan oleh pihak tertentu yg bertujuan utk mencuri info dari pelanggan akaun online banking. 
Disini saya ingin share dua link yg saya sendiri terima yg betul betul menyerupai M2U dan HLB sites dihantar melalui mail dgn alasan saya harus memperbaharui info didalam akaun saya.  Sila perhatikan dan lihat perbezaan masing masing.


Website palsu M2U
 


Website ‘ori’ M2U
 (Genuine)


Website palsu Hong Leong
 (FAKE)


Website ‘ori’ Hong Leong (Genuine)
 

Tak nampak perbezaannya, rite. Memang sukar utk mencari perbezaannya. These ppl are very good at their job copying the original site.
 
The only difference is to refer to the address bar. The web address should refer to the bank’s address dan juga sila pastikan tanda icon kunci(mangga) ada pada site itu coz itu confirm that it is a secured site and not a fake site.
 
Sila berjaga jaga ya coz once they have ur id and password, penat-penat duit dan simpanan yg diusaha boleh hilang sekelip mata.
 
Regards,